Cara Hilangkan Kotoran Degil Pada Pakaian
Pernahkan anda menghadapi kesukaran membersihkan kotoran yang melekat di pakaian? Pelbagai kotoran boleh melekat pada pakaian kita setiap hari. Jika tidak membersihkan dengan cepat, kotoran akan sukar ditanggalkan dan menjadi kotoran degil. Sebenarnya, setiap jenis kotoran dapat ditanggalkan dengan mudah jika menggunakan cara yang betul. Beberapa tips boleh dilakukan bagi menanggalkan kesan degil yang terkena pada pakaian:
Kesan minyak
Minyak masak atau minyak motor yang hitam dan likat yang melekat pada pakaian adalah amat sukar untuk disingkirkan. Jika terkena, serap sebanyak mungkin minyak dengan tisu kertas. Bagi menangani masalah sisa kotoran minyak, taburkan sedikit tepung jagung atau bedak bayi di atas kesan tersebut. Biarkan seketika dan tanggalkannya semula (secara kering). Kemudian, titiskan beberapa titik sabun pencuci pinggan mangkuk ke atasnya dan berus sehingga kesan minyak tanggal sepenuhnya.
Kesan kotoran peluh (pada kolar baju)
Kotoran degil seperti kesan peluh pada kolar antara masalah yang sering dihadapi oleh suri rumah. Caranya amat senang untuk menyingkirkan kesan kotoran ini iaitu dengan menggunakan syampu. Anda hanya perlu menyental atau menggosok lembut bahagian kolar baju dengan menggunakan syampu (apa-apa jenama). Kemudian, bilas dan cuci baju seperti biasa.
Kesan dakwat atau pen marker
Anak-anak yang sedang membesar sangat gemar melukis dan berwarna dan pasti ada yang terkena pakaian. Ibu bapa jangan risau kerana ada cara berkesan untuk menanggalkan kotoran ini menggunakan bahan-bahan dari rumah sahaja. Cara pertama, ambil sedikit susu dan tuangkan ke atas kesan dakwat. Biarkan ia rendam selama 30 minit dan cuci dengan sabun seperti biasa dan bilas. Cara kedua, boleh menggunakan penyembur rambut dengan menyemburkannya pada kesan tersebut. Biarkan ia kering sebentar. Kemudian sapukan air yang bercampur cuka. Gosok dan basuh seperti biasa.
Kesan darah
Satu lagi kesan yang paling sukar disingkirkan ialah darah. Wanita mungkin lebih cenderung dengan masalah ini terutamanya apabila sedang menghadapi tempoh haid. Sekiranya ada kesan yang melekat pada seluar, cubalah cara ini. Basahkan bahagian yang terkena darah dan taburkan dengan sedikit garam. Kemudian, gosokkan bahagian tersebut dan anda akan mendapati kesan darah mula tertanggal. Ulangi langkah ini beberapa kali dan seterusnya cuci seperti biasa menggunakan sabun pencuci.
Kesan tumpahan kopi
Bagi menanggalkan sisa kopi, rendamkan baju dalam air sejuk selama 30 minit dan cuci dalam mesin basuh dengan dilaras cucian panas. Bagi hasil lebih baik, boleh gunakan cuka pada bahagian terkena tumpahan kopi itu.
Kesan deodoran
Cuka boleh digunakan untuk menghilangkan kesan deodoran yang kekuningan dan sedikit keras. Celupkan berus gigi terpakai dalam larutan cuka putih dan gosokkan kesan deodoran pada bawah lengan pakaian. Kalau baju yang berwarna gelap, boleh taburkan ‘baking soda’ pada kesan deodoran. Kemudian, bilas pakaian dalam air panas.
Tanah/ Lumpur
Kesan tanah atau lumpur lebih mudah dibersihkan apabila ianya dibiarkan kering. Kemudian, tanggalkan sebanyak mana yang boleh ketika lumpur ini kering. Cuci kesan selebihnya menggunakan sabun pencuci biasa dan bilas. Jika masih ada kesan kotoran, anda boleh cuba menggunakan sedikit cuka dalam cucian. Kemudian, bilas seperti biasa.
Gula getah
Cara menanggalkan gula getah yand terlekat pada baju/seluar ialah cuba sejukkan pakaian tersebut dengan meletakkan ais pada bahagian tersebut atau masukkan pakaian ke dalam beg plastic bersih dan masukkan ke dalam peti sejuk selama beberapa jam. Apabila gam telah mengeras, barulah anda boleh menanggalkan gula-gula getah dengan mudah. Ia tidak akan meninggalkan kesan.
Cat
Rendamkan pakaian yang terkena cat dengan minyak tanah terlebih dahulu selama beberapa jam, kemudian basuh dengan sabun dan bilas seperti biasa.
Begitu mudah cara-caranya untuk menghilangkan kotoran pada pakaian. Semoga tips kali ini bermanfaat untuk anda dalam menjaga dan membersihkan pakaian.